Pegawai VAR pasti sedang minum teh, kata Mourinho

Dengan perasaan bengang, Jose Mourinho berkata pegawai video bantuan pengadil (VAR) pasti sedang “minum teh” selepas terjahan keras Andy Robertson tidak diberikan layangan kad merah ketika pasukannya, Tottenham Hotspur, tewas 0-1 kepada Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di London awal pagi tadi.

Selepas gagal mengawal kemas bola di kawasan Spurs dalam babak kedua, Robertson melakukan terjahan keras dengan menapak ke bahagian tulang kering pemain muda pasukan tuan rumah itu, Japhet Tanganga.




Bagaimanapun, bek kiri Liverpool itu tidak menerima sebarang hukuman dan Mourinho berasa amat jengkel.

Selepas memuji pasukan kendalian Jurgen Klopp itu, yang berkelebihan 16 mata di puncak liga dengan 20 kemenangan daripada 21 perlawanan, pengurus Spurs berkenaan berasakan pasukannya tidak mendapatkan keadilan sambil membandingkan terjahan Robertson itu dengan insiden kad merah Son Heung-min sewaktu berdepan Chelsea berdasarkan keputusan VAR.

“Mereka amat-amat bagus dan amat-amat kuat di setiap bahagian,” katanya mengenai Liverpool kepada Sky Sports.

“Apa yang paling penting, mereka (juga) bernasib baik.

“Sebab mereka bernasib baik — mereka mungkin dibolosi satu gol dan mungkin beraksi dengan 10 pemain kerana pada waktu itu, VAR sedang minum teh dan tidak nampak kad merah yang sepatutnya buat Robertson.

“Bandingkannya dengan Son (ketika menentang Chelsea), Son menerima kad merah,” katanya.

Mourinho juga berasakan Liverpool tidak sepatutnya diberikan lontaran ke dalam sebelum Roberto Firmino menjaringkan gol tunggal perlawanan itu, namun berbangga dengan keupayaan Tottenham tanpa ayam tambatan mereka, Harry Kane, yang mungkin berehat panjang hingga April depan.




“Saya fikir saya hanya bersedih kerana keputusan itu tetapi amat gembira dan berbangga dengan apa yang dilakukan dan cuba dilakukan pemain saya dengan situasi yang melanda kami.

“Saya fikir kami layak menerima sesuatu yang lebih baik daripada perlawanan ini.

“Dengan lontaran ke dalam (sebelum gol Firmino) yang sepatutnya diberikan kepada kami, ia agak mengecewakan.

“Saya fikir pengadil telah melakukan tugasnya dengan amat baik tetapi pembantunya yang bertentangan dengan kawasan kami tidak dapat melihatnya,” tambahnya. – stadiumastro



(Visited 232 times, 1 visits today)

Comments

comments