Lebur RM36,800, Mudahnya ditipu

WANITA sanggup membayar sehingga RM36,800 bagi mendapatkan pinjaman wang sebelum menyedari dia ditipu sindiket penipuan.



Mangsa berusia 27 tahun dikatakan melakukan 19 kali pindahan ke satu akaun yang diberikan sejak November lalu hingga kelmarin untuk pelbagai bayaran bagi mendapat kelulusan pinjaman.

Difahamkan, mangsa terpaksa menggunakan duit simpanannya dan meminjam wang daripada keluarga serta rakannya untuk membayar wang proses permohonan pinjamannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 25 November lalu apabila mangsa melayari satu laman web dan tertarik dengan iklan pinjaman wang.

“Mangsa kemudian mendaftarkan butiran peribadi sebelum dihubungi oleh seorang lelaki kononnya dari sebuah syarikat pinjaman wang.





“Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang dengan syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan hari ini.

Menurutya, bagi mendapatkan pinjaman berkenaan mangsa diminta membuat pelbagai bayaran.

“Walaupun bayaran seperti yang diminta sudah dibuat, mangsa masih tidak menerima wang pinjaman berkenaan dan diminta untuk membuat bayaran lagi.

“Mangsa mula berasa curiga mengenainya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam,” katanya.

Menurutnya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.



(Visited 80 times, 1 visits today)

Comments

comments